Friday, August 14, 2009

Ramadan Datang Lagi

Tak lama lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut kedatangan bulan yang mulia, bulan Ramadan.Orang dulu-dulu menyebut bulan puasa.Bulan ini memang dinanti-nantikan oleh semua umat Islam kerana Ramadan merupakan bulan yang paling mulia di sisi Allah. Setiap amal ibadat dan kebajikan yang dilakukan akan diberi ganjaran yang berlipat kali ganda oleh Allah SWT.

Oleh itu, sekiranya kita tidak tergolong dari golongan yang sentiasa melakukan amal ibadat, amal kebajikan serta memperbanyakkan taubat kepada Allah SWT sepanjang bulan ini maka, kita adalah dari kalangan orang-orang yang rugi di sisi Allah SWT.

Apa yang pasti di akhir zaman ini, sesetengah umat Islam tidak langsung menghiraukan kedatangan bulan mulia ini. Tidak ada persediaan dan azam dibuat untuk menyahut cabaran Ramadan yang penuh berkat ini.Mereka akan terasa gembira sekiranya penyimpan mohor besar raja-raja mengisytiharkan bahawa puasa pada hari yang berikutnya.Seolah-olah suatu nikmat besar buat mereka pada keesokan harinya.Boleh terus menjamu selera sepanjang hari.

Sesetengahnya pula menjadikan bulan Rajab dan Syaaban sebagai bulan untuk membuat persiapan Hari Raya. Rata rata kalau kita tengok di pasaraya atau pusat membeli belah, orang Islam berebut rebut untuk membeli pakaian dan kain langsir.Tukang jahit pula tak menang tangan menerima tempahan.Ada yang terpaksa menolak tempahan kerana tidak yakin dapat menyiapkannya pada waktu yang ditetapkan.

Kadang- kala kesian juga melihat keluarga yang ramai anak.Si ayah dan ibu terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk tujuan ini. Apa boleh buat, nak raya , anak-anak didahulukan , persiapan diutamakan.

Kita juga akan dapat melihat semangat umat Islam menyambut puasa. Kaum lelaki mula mencari kain pelikat baru, kopiah baru, jubah baru dan lain-lainnya dengan tujuan untuk dipakai pergi sembahyang tarawih. Si ibu pun begitu, beli telekung baru, tudung baru, jubah baru untuk maksud yang sama. Seronoknya mereka.

Surau dan masjid mula dikemas dan dibersihkan bagi menyambut kedatangan Ramadan dan jumlah jemaah yang akan bertambah. Surau yang sebelum ini tidak diimarahkan, kini dibersih dan dikemaskan semata-mata untuk membolehkan jemaah yang berhampiran bertarawih.Semuanya dibuat secara bergotong royong.

Bercerita tentang solat tarawih pula, ada sesetengah masjid atau surau melakukannya dengan jumlah rakaat yang berbeza. Ada yang buat 20 rakaat, 10 rakaat dan ada pula yang 8 rakaat.
Perbezaan rakaat ini juga menyebabkan umat Islam boleh bercanggah pendapat. Jemaah lebih suka pergi ke masjid atau surau yang jumlah rakaat tarawihnya sedikit berbanding yang 20 rakaat.Inilah yang berlaku sekarang di kalangan umat Islam.Apakah mereka sudah tidak berminat untuk melakukan ibadat yang lebih di bulan yang mulia ini.

Tak apalah.Yang penting umat Islam mesti bertarawih di sepanjang bulan Ramadan ini. Soal bercanggah pendapat mengenai jumlah rakaat tarawih tidak menjadi masalah.Yang buat lebih akan dapat pahala lebih. Asalkan jangan ada yang tak buat langsung.

Semoga Ramadan tahun ini akan lebih baik buat kita berbanding Ramadan yang lalu.

Selamat Berpuasa....

1 comment: